Tuesday, September 30

How I met your father; Chapter 8: Finale.

Seperti yang saya pernah bayangkan, hari ini awak memang sebenarnya telah pergi.
Hai awak.
Ketika awak membaca surat elektronik ini, mungkin saya sedang menangis, atau sedang makan nasik atau sedang melepaskan lelah di tangga sogo sambil melayan busker yg sering memerli kita dengan lagu-lagu kecewa atau mungkin saya sedang pada janji temu pertama dengan peganti awak.
Ah tak dapat saya bayangkan akhirnya saya harus bergembira dengan orang lain.
Dan begitu juga awak.

Awak.
Sepertimana saya pernah melampiaskan kesukaan saya kepada awak secara surat elektronik maka moleklah jika kebencian ini juga dilampiaskan dengan cara yang sama. Dan janganlah berdebar sangat kerana ingin dijelaskan disini kebencian saya adalah terhadap kita yang dulu dan bukanlah pada awak sa-orang. Sesungguhnya awak mesti tahu bagaimana perit membenci diri sendiri.

Awak.
Yang kita sedia maklum, bagaimana teori perit bahawa air sungai pun berubah apalagi hati orang.." ini sebenarnya tak mungkin terjadi kepada saya dan awak, akhirnya benar-benar terjadi kepada kita. Hergh kenapa sekarang saya rasa nak pegang muka awak kuat-kuat dan jerit dan berharap kita masing-masing telah sedar teori itu bukan dogeng orang zaman dulu-dulu. Atau adakah awak sudah lama menyedari perihal ini tetapi berat mahu beritahu saya?
Jangan salah faham. Saya bukan negatif, saya cuma bertanya. Hm. Mungkin saya yang gemar bertanya sedangkan awak tak berminat untuk menjawab. Atau mungkin saya sahaja yang selalu fikir awak begitu. Aduhh.

Awak. 
Sejujurnya sewaktu awak pelan-pelan jauh saya selalu menangis kerana saya tak percaya teori diatas dan saya selalu percaya saya memang sudah tidak boleh hidup tanpa awak. Memang tak boleh. Bayangkan bagaimana saya mahu bangun pagi tanpa ucapan 'selamat pagi, darling' daripada awak dan bagaimana pula saya mahu tidur tanpa 'selamat malam makwe' yang sememangnya jadi rutin kita berdua? Dan ternyata saya bangang sekali kerana helaan nafas saya bukan tercipta dari ucapan-ucapan awak. Sayalah yang bersalah kerana menganggap momen biasa itu terlalu indah.

Atau mungkin saya yang terlalu jiwang.

Jadi dalam tempoh saya bersedih itu bolehkah awak bayangkan bagaimana saya menangis setiap kali saya membayar kuih seri muka di bazar ramadhan yang lepas? Setiap kali saya memeluk ayah, setiap kali saya bangun pagi, setiap kali saya terhidu wangian yang sama yang pernah awak beri kepada saya pada lelaki yang sama-sama menunggu keretapi ke tempat kerja bersama saya, setiap kali saya menggoreng keropok, setiap kali saya menghirup udara pagi, setiap kali saya berjalan kaki di kg Surabaya, bahkan setiap hari sewaktu saya tidur, saya bercakap tentang awak. Tanpa sebab yang kukuh. Dan tahukah awak tempoh itu adalah yang paling pedih selama saya berumur 22 tahun? Segalanya seperti benar-benar membawa awak kepada saya lantas tubuh saya mengigil setiap kali alter ego saya menyedarkan kenyataan bahawa awak yang dulu benar-benar telah pergi. (Sewaktu menulis perenggan ini awak masih seseorang kepada saya tetapi sebenarnya sudah kepada jelmaan lain)

Awak.
Lupa saya mahu ingatkan disini. Surat ini mungkin mengambil masa berbulan-bulan untuk saya layangkan. Dan yang pastinya surat ini akan mencuri masa awak yang banyak. Jadi silakan bersabar sayangku. Bacalah bila awak tenang dan waras. Dan awak adalah awak yang sebenarnya. Jadi marilah kita menikmati surat terakhir ini sebaik-baiknya. (Atau mungkin awak takkan membaca surat ini)

Awak.
Kenyataan memang perit. Tapi apalah hendak dikirakan perit itu jika dibandingkan bagaimana kita masing-masing terpaksa menahan sakit dalam suka. Jadi diperenggan ini marilah kita bercinta dan lupakan sekejap peritnya melupakan. Sini kita kutip momen-momen yang lepas sebelum kita balut dan campak ke lautan Hindi yang misteri dan seram itu. Semisteri cinta kita. Perghh.

Dan dengarlah hati saya bercerita.

Ke Kelantan berjumpa ma dan ayah awak adalah pengalaman besar bagi saya. Bagaimana kalutnya saya menahan debar dalam perasaan dan bagaimana awak begitu comel menyelamatkan saya dalam setiap keadaan pun. Maafkan saya untuk setiap ketidaksempurnaan saya selama itu. Saya mahu sekali pulang lebih awal dari yang kita rancangkan tetapi secara jujurnya setelah pulang ke Kuala Lumpur, saya jadi rindu. Rindu mahu bersama ma ayah dan awak di rumah. Perasaan geram setiap pagi melihat awak berselimut hingga kepala masih berbekas dihati. Sehinggakan sewaktu menunggu abg Dir jemput kita fikiran saya masih melayang-layang di Kelantan sana. Padan muka saya. Waktu berpeluang nikmati semua itu, saya siakan.
Maka hiduplah saya dalam kerinduan dan sesalan yang paling dalam.

Ingatkah awak pada dedaun yang gugur di jalan sewaktu dalam perjalanan ke rumah saya? Semesta alam seperti meraikan kita. Membawa awak bertemu keluarga saya adalah sesuatu yang menyeronokkan. Ternyata saya memang kaki buli tegar awak ketika itu. Kesian awak. Sudahlah penat, tak cukup tidur, kemudian dibiar saya menjawab soalan demi soalan yang dilemparkan keluarga saya. Padahal turn saya di rumah awak, saya cukup diselamatkan. Sudah lupakan?
Terima kasih awak!

Menikmati keindahan petang di Putrajaya sambil melihat anak-anak orang lain bermain cukup-cukup menenangkan. Belum lagi melihat anak-anak sendiri. Lalu apa yang terucap dari mulut awak lantas membuahkan senyuman di bibir saya. "Nanti bila kita tua, kita beli basikal main dekat sini dengan anak-anak kita. Marilah amalkan hidup sihat!..' Ungkapan itu serasa seperti baru semalam dilontarkan. Sayangnya ketika menaip perenggan ini, awak mungkin sudah pun dimiliki orang lain dan impian berbasikal itu sudah berpindah milik padanya. Tak apalah. Nanti saya lunaskan impian kita itu, walaupun dengan orang lain. Hm.

Untuk sampai ke Dusun Gearbox Bangi megambil masa yang lama. Oh ya. Nanti sampaikan terima kasih saya pada GPS awak yang selalu membantu kita. Memandangkan saya memang co-pilot yang gagal dan tak boleh harap. Kahkahkah.
Disitu juga ada momen yang biasa tapi bagi saya yang terlalu menyayangi awak, ia kelihatan sungguh-sungguh sentimental dan bernyawa. Bagaimana kegigihan awak mahu menyuap nasi kepada saya. Bagaimana awak bersungguh memotongkan lauk pada saya sama seperti sungguhnya awak menyediakan steamboat di Johnnys sambil diperhatikan penuh bahagia oleh saya. Ternyata awak adalah harta paling tak ternilai bagi saya ketika itu. Bahagia sehingga saya tidur senyum setiap hari.
Terlalu bahagia awak.
Terlalu.

Sebenarnya saya tidak pernah serius memaksa awak memakai kemeja merah jambu. Saya memang sengaja membuli awak. Dan deal yang kita buat antara Japan dan Malaysia dalam badminton itu juga adalah gurauan. Saya jarang merajuk yang sungguh-sungguh pada awak kerana awak adalah ciptaan paling indah yang sukar saya nafikan. Dan mungkin awak tak tahu, saya selalu curi-curi senyum. Ah bodohnya bila mengenang saya yang terlalu emosi masa kita ke Kuala Lumpur beberapa bulan yang lalu. Sepatutnya saya hari itu menjadi perempuan paling bahagia kerana memiliki awak.
Maafkan saya.
Maafkan saya kerana tak pandai menilai kebodohan saya.

Sehinggalah suatu hari saya kehilangan awak.

Saya tidak tahu dimana kekuatan tiba. Tapi nyatanya daripada awak. Terima kasih awak. Lihatlah, betapa dihari-hari akhir awak mahu meninggalkan saya pun awak masih begitu baik dengan saya. Bagaimana awak perlahan-lahan mengajar saya erti keseorangan dan kekosongan, bagaimana awak bantu saya untuk berhenti bergantung harap pada awak lantas menjadikan saya berdikari dan dewasa. Bagaimana awak mengajar saya untuk hidup tanpa awak dan kesakitan itu perlahan-lahan menjadi pemangkin kedewasaan saya hari ini.

Saya sedar saya sebenarnya perempuan kuat yang malas. Yang malas bangun. Malas hidup. Malas lupakan awak padahal saya boleh lakukan semua itu bila-bila masa saya mahu. Saya pemalas dan manja. Dan awak pun tahu saya memang manja. *ketawa tutup mulut.
Sebab awak pernah beritahu dan saya tak percaya.
Maafkan saya.
Maafkan kemanjaan saya.

Oh ya, mengenai twitter yang sering menjadi tempat meluahkan ketidakpuasan hati terhadap awak adalah kerana saya tak mampu marah awak depan-depan. Tengok awak senyum aja saya sudah cair jadi mana mungkin saya mampu berterus terang yang saya marahkan awak jika kemarahan itu cuma seminit dua. Silap saya adalah melampiaskan di twitter tanpa menyedari saya dipantau dari jauh. Kahkahkah.
Sekali lagi, padan muka saya. (Sengaja jelaskan walaupun takdiperlukan lagi)

Awak.
Mengarut betul bila fikir kita akan tamat secepat ini tapi lagi mengarut bila fikir entah bagaimana cepat pula kita jatuh cinta. Bagaimana setiap apa yang awak cakap, beritahu dan pesan terlalu melekat dihati saya bahkan ada beberapa ungkap kata yang awak pesan masih saya boleh hafal susunannya. Awak dan power awak dan saya dengan power saya akhirnya boleh kita bingkaikan dirumah keluarga masing-masing nanti.

Kelakar perkara akhir yang kita lakukan bersama adalah menyanyi.

Awak.
Jika mahu dizahirkan kebaikan-kebaikan awak dan kemanisan-kemanisan cinta kita mungkin takkan habis sampai bila-bila. Jadi baiklah jika saya berhenti disini.
Berbahagialah awak walau dengan siapa, dimana atau bagaimana pun kehidupan awak. Dan doa untuk awak sentiasa saya titipkan. Jangan risau, saya sudah berhenti menangis.

Berbahagialah kita dalam melawan kenangan, selamat hari lahir ke-30 cinta yang disiakan.
Marilah kita menutup jodoh kita dengan tasbih kifarah.

Nanti ada masa kita minum kopi sama-sama lagi ya?

Surat ini valid bermula 01/10/14 sehinggalah pemilik blog meninggal dunia.

5 comments:

Anonymous said...

why my dear?

Anonymous said...

-the end- :( chapter 2 please... asap!

Anonymous said...

Ayat terakhir tue terbaik...
Harap anda tabah..kita hidup de ranjau yg di lalui..kadang saya pun tak mampu nak move on dari kenangan yg cukup manis..hanya mampu berdoa supaya dikuatkan hati menghadapi hari..hari yg mendatang..

-L

Anonymous said...

Sabar ye..
Ada yg terbaik menanti next chapter.

Nsj.

Judh said...

Anon 1: tiada apa. Ini cuma ucapan hari lahit dan sedikit confession. Awak siapa?

Anon 2: chapter baru dah mula dgn hero bernama Tuah. Btw awak siapa?

Anon 3: saya dah move on. Rupanya move on tak sesusah mana. Pokoknya mahu atau tak mahu. Kihh. L stand to Lan kan.Lan benz. 😄

Anon 4: kehidupan saya dah bermula semula. Malah semasa entri ni ditaip saya dah belajar bersabar dan move on. Saya, tak apa-apa. Tapi nsj stand to?

Lain kali janganlah komen pakai anon. Saya benci hidup dalam pertanyaan. Hm.